Nenek 11 cucu, bekas pesakit barah payudara antara graduan genggam PhD CityU
KUALA LUMPUR – Penantian seorang wanita warga emas menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) berakhir dengan penamat yang menggembirakan selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di City University Malaysia (CityU).
Menurut Datin Dr. Zainol Sulaiman, 66, beliau menyifatkan suaminya, Prof Emeritus Datuk Dr. Johari Mat merupakan motivasti terbesar buat dirinya menghabiskan PhD selama tiga tahun.
Dr. Zainol yang juga merupakan nenek kepada 11 orang cucu, menekankan akan kepentingan menuntut ilmu dalam usaha membentuk modal insan yang terbaik.
“Rahsia saya, sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada dan percaya dengan ilmu ia akan menjadikan kita insan yang lebih baik.
“Harta dan wang ringgit boleh diambil orang, tetapi ilmu dan pengetahuan tidak akan pernah dapat diambil,” katanya yang juga Naib Presiden Dewan Pembangunan Industri.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen CityU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebagai rekod, CityU telah melakar sejarah tersendiri dengan melahirkan 123 graduan Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen CityU 2023.

Turut berkongsi perjalanan menamatkan pengajian PhD di CityU, Dr. Rozariah Zainudin yang merupakan bekas pesakit barah payudara menyifatkan penyakit yang pernah dihidapinya itu sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan pengajian.
Merupakan seorang pendidik, Dr. Rozariah berkongsi bahawa antara dorongan utama beliau untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah ini ialah untuk mengelakkan dirinya terbawa-bawa dengan kesedihan akibat penyakitnya itu.
“Bagi saya apa juga Allah bagi ia bukan untuk kita patah semangat ia sebenarnya untuk kita terus bergerak ke hadapan, sekali gus menjadi contoh teladan buat anak-anak yang insyaAllah juga bakal menggenggam PhD,” katanya.
Tambah Rozariah, proses menyiapkan tesis ini diibaratkan sebagai proses untuk sembuh kerana dapat membantunya melupakan seketika kesedihan akibat penyakitnya.
“Saya telah mencuba pelbagai cara untuk mengalihkan perhatian saya daripada meratapi kesakitan. Saya cuba untuk mengembara, memasak dan sebagainya, namun saya dapati hanya assignments (tugasan) dari universiti yang mampu membuat saya lupakan kesakitan yang saya hadapi.
“Kini saya berbangga kerana hasil kajian kedoktoran saya mampu memberikan nilai tambah kepada pelajar-pelajar SPM tentang bagaimana dengan menggunakan peta minda dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap subjek-subjek SPM,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








