Kerajaan salur RM8.4 juta untuk lencana Jalur Gemilang percuma pelajar
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sebanyak RM8.4 juta diperuntukkan bagi pembekalan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap pelajar menerima dua lencana secara percuma sebagai sebahagian inisiatif memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara sejak di bangku sekolah.
“Peruntukan ini telah diagihkan kepada semua jabatan pendidikan negeri dan institusi berkaitan pada Februari 2025, dengan kuantiti disesuaikan mengikut bilangan pelajar berdaftar.
“Proses perolehan dilaksanakan oleh jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi melalui sistem ePerolehan secara tender atau sebut harga.
“Bagi mempercepatkan bekalan dan menggalakkan lebih ramai pembekal yang layak, perolehan mengikut zon turut dibenarkan dengan sejumlah 91 pembekal di seluruh negara terbabit dalam penyediaan lencana tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Baca juga : Institusi pendidikan bukan bawah KPM digalakkan laksana pemakaian lencana Jalur Gemilang
Fadhlina menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS–Kuala Krai) mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar di bawah institusi Kementerian Pendidikan.
Fadhlina menambah, KPM telah mengeluarkan garis panduan pemakaian lencana Jalur Gemilang namun membenarkan ibu bapa menyediakan lencana tambahan bersaiz sama yang dibuat daripada bahan sesuai.
“Kementerian akan terus memantau pelaksanaan fleksibel pemakaian lencana di semua peringkat pendidikan yang bertujuan menyemai semangat patriotisme dan memupuk kecintaan kepada negara dalam kalangan Generasi Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai langkah menangani isu keselamatan pelajar dan kerosakan pada pakaian seragam.
Bermula 21 April, semua pelajar sekolah kerajaan diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah sebagai langkah memupuk patriotisme dan ketahanan nasional.
Peraturan itu susulan satu pekeliling dikeluarkan pada 24 Mac oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, yang menyatakan bahawa pelajar mesti memakai lencana bendera kebangsaan bersaiz 5cm x 2.5cm di bahagian kanan dada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








