BERITA SEMASA

Kerajaan rancang tubuh Education Malaysia di Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat menubuhkan Education Malaysia (EM) di Arab Saudi sebagai langkah memperkukuh kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.

Perkara itu antara perkara yang dibincangkan ketika pertemuan bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel R Al-Ahmadi, pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan EM itu bertujuan menyelaras kerjasama pendidikan, termasuk program akademik, biasiswa serta kebajikan pelajar kedua-dua negara.

“EM membabitkan urusan berkaitan aspek kebajikan pelajar kita di Arab Saudi dan begitu juga pelajar negara berkenaan yang berada di Malaysia. Jadi kita laksanakan hubungan dua hala.

“Mereka juga akan membantu menangani sebarang isu berbangkit berkaitan pendidikan dan kedudukan EM sangat penting serta biasanya kita letakkan di bawah kelolaan pihak kedutaan bagi memudahkan pengurusan dan komunikasi.

“Pihak Arab Saudi mengalu-alukan cadangan Malaysia dan saya akan menghantar nota verbal kepada pihak kerajaan Arab Saudi nanti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Zambry menambah, EM berperanan sebagai pusat penyelarasan program pendidikan dua hala, merangkumi penghantaran pelajar, pelaksanaan biasiswa dan program pendidikan lain antara Malaysia dan Arab Saudi.

“EM berfungsi untuk mengurus program pendidikan antara kedua-dua negara, bukan sahaja pendidikan tinggi tetapi juga keseluruhan aspek pendidikan.

“Ia turut melihat kebajikan pelajar Malaysia yang menuntut di sana di samping pelajar Arab Saudi yang belajar di negara kita dan jika ada sebarang isu berbangkit berkaitan pendidikan, EM inilah yang akan membantu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button