BERITA SEMASA

DASA & NATSEC Asia 2026: 16 perjanjian strategik dimeterai universiti awam, rakan industri pertahanan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 perjanjian strategik dimeterai oleh tiga universiti awam (UA) dengan rakan industri pertahanan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, langkah proaktif itu berupaya mengubah persepsi universiti sebagai ‘menara gading’ yang terasing, sebaliknya memposisikan institusi berkenaan sebagai rakan kongsi aktif dalam pembangunan teknologi pertahanan negara.

“Perjanjian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu teknikal dalam bidang kritikal seperti sistem peluru berpandu, teknologi dron serta keselamatan siber,” katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan pertukaran dokumen itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Turut hadir, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad serta barisan Naib Canselor universiti awam dan pemain industri pertahanan.

Baca juga : DSA & NATSEC Asia 2026 perkukuh hubungan diplomasi pertahanan negara selaras dasar berkecuali

Dalam kenyataan sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan kolaborasi strategik berkenaan melibatkan penyertaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Jelas KPT, kerjasama itu merangkumi tujuh Memorandum Perjanjian (MoA), empat Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan dua Surat Niat (LoI).

“Inisiatif tersebut selaras agenda KPT dalam mengintegrasikan kecemerlangan akademik dengan keperluan kedaulatan negara, sekali gus menjadikan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu inovasi yang lebih responsif.

“Sinergi yang terjalin juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi luar menerusi pembangunan penyelesaian tempatan berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.

Tambah KPT, pihaknya komited memastikan kerjasama berkenaan diterjemahkan kepada hasil yang mampu memperkukuh pertahanan negara selain meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button