KPT umum pencapaian cemerlang dalam Kad Laporan 2024
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Kad Laporan 2024 yang mengetengahkan 24 pencapaian utama dalam sektor pendidikan tinggi sepanjang tahun ini.
Laporan tersebut menonjolkan pelbagai inisiatif strategik yang berjaya dilaksanakan, bertujuan meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara selain memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, antara pencapaian yang diumumkan termasuk Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) yang melibatkan 1,284 pelajar politeknik serta pelaksanaan Program Global Initiative for Future Talent (GIFT) yang memberi manfaat kepada 350 peserta.
“Program itu memberi fokus kepada peningkatan kemahiran teknikal sebagai nilai tambah dalam pendidikan TVET,” katanya di sini, hari ini.
Selain itu, Program iFUTURE 2024 yang melibatkan penyertaan 1,000 pemimpin mahasiswa dari 46 negara juga dilaksanakan untuk melatih bakat kepemimpinan dalam kalangan generasi muda.
Zambry berkata, KPT turut mencipta sejarah apabila Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Malaysia ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Katanya, seramai 101 pelajar telah menyertai kohort pertama fakulti itu yang dijangka menjadi pemangkin kepada kemajuan teknologi dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Di samping itu, usaha memperkukuh penyelidikan dan inovasi terus diperkasa dengan kerjasama strategik bersama pelbagai syarikat dan agensi kerajaan, antaranya Huawei Malaysia, Nvidia dan CelcomDigi,” katanya lagi.
Menurut kad laporan KPT, sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan kepada penyelidik institusi pengajian tinggi dan perusahaan sosial bagi melaksanakan projek yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.
Dalam aspek kebajikan pelajar, lebih 1.2 juta pelajar layak menerima baucar buku bernilai RM100 dengan jumlah peruntukan keseluruhan melebihi RM120 juta.
Zambry turut berkata, program SULUNG 2.0 pula menyaksikan 4,729 pelajar daripada keluarga B40 mendapat pengecualian yuran pengajian manakala 5,581 pelajar menerima manfaat Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN sebanyak RM1,500 seorang.
“Malaysia juga terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa melalui peningkatan mobiliti pelajar.
“Setakat September 2024, sebanyak 133,413 pelajar antarabangsa telah mendaftar di institusi pengajian tinggi negara, melepasi sasaran asal sebanyak 130,000.
“Universiti Tsukuba dari Jepun turut memilih Malaysia sebagai lokasi pertama untuk membuka kampus cawangan di luar negaranya,” katanya lagi.
Sebagai persediaan ke arah 2025, KPT akan melancarkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang dirangka untuk memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara.
Festival Idea Putrajaya yang berjaya menarik 100,000 pengunjung tahun ini juga akan dianjurkan secara tahunan mulai tahun depan, dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai ‘City of Ideas’.
Pelancaran Kad Laporan 2024 itu membuktikan komitmen KPT untuk terus menerajui sektor pendidikan tinggi negara, dengan fokus kepada penyediaan bakat berkualiti, inovasi, pengantarabangsaan dan pembangunan kebajikan pelajar demi masa depan yang lebih cemerlang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







