HCTM-UKM perintis pembedahan ACL penjagaan harian pertama di Malaysia
KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) menjadi institusi perubatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pembedahan rekonstruksi Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebagai prosedur penjagaan harian.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif itu membuka lembaran baharu dalam bidang perubatan negara apabila prosedur pembedahan tersebut, yang sebelum ini memerlukan kemasukan ke wad selama beberapa hari, kini boleh dilakukan secara harian.
Menurut KPT, inisiatif berkenaan sekali gus mengurangkan tempoh rawatan di hospital, menurunkan kos perubatan serta meminimumkan risiko jangkitan hospital.
“Pembedahan rekonstruksi ACL adalah prosedur yang bertujuan untuk mengembalikan kestabilan lutut dengan menggunakan cantuman (graft) bagi menggantikan ligamen yang telah koyak.
“HCTM-UKM menggunakan teknik Modified UKM Internal Bracing (MUIB), satu pendekatan inovatif yang terbukti berkesan dalam meningkatkan kestabilan dan perlindungan cantuman semasa proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, kaedah tersebut turut mempercepatkan tempoh rehabilitasi dan membolehkan pesakit kembali kepada aktiviti harian dalam masa lebih singkat, selaras dengan usaha memperkasa sistem kesihatan yang berpusatkan pesakit.
“Pelaksanaan prosedur ini membuktikan komitmen UKM dan HCTM dalam memperkukuh inovasi perubatan serta terus menjadi peneraju dalam memperkenalkan amalan klinikal terkini di Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








