BERITA SEMASA

Seramai 169,803 lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA menerusi UPUOnline

PUTRAJAYA – Seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi sistem UPUOnline bagi sesi kemasukan tahun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah itu mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima daripada lepasan SPM.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 91,357 pelajar ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA), 60,947 di politeknik, 15,844 di Kolej Komuniti dan 1,655 lagi di institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

“KPT turut menawarkan laluan khas bagi kumpulan berkenaan melibatkan 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet dan 10,499 calon daripada kategori B40,” kata kenyataan tersebut.

Tambah KPT, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian.

Buat pertama kali juga, semua program pengajian dibuka kepada calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif.

Logo UPUOnline
Logo UPUOnline.

KPT turut memaklumkan bahawa pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 8A dan ke atas turut diberikan perhatian menerusi penawaran tempat pengajian bersesuaian.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kali ini merangkumi 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu program ijazah sarjana muda.

Menurut kementerian itu, pemilihan calon dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan semua pemohon disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

“Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi calon yang tidak berjaya, proses rayuan kini dibuka menerusi UPUOnline bermula tengah hari tadi sehingga 31 Mei depan, pukul 5 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button