KPT tanggung kebajikan pelajar kembar seiras, tekad ubah nasib keluarga
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan untuk memastikan kebajikan dua pelajar kembar seiras, R. Nagarani dan R. Nagadevi terus terbela sepanjang pengajian mereka di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kedua-dua pelajar dari Seberang Perai itu berjaya melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Perakaunan meskipun datang daripada keluarga serba kekurangan.

Menurut beliau, kisah adik-beradik tersebut wajar menjadi inspirasi apabila mereka tetap memperoleh keputusan cemerlang walaupun berdepan kesusahan hidup.
“Ayah mereka kini terlantar akibat penyakit Parkinson manakala ibu pula menyara keluarga dengan membuat kuih perayaan secara kecil-kecilan.

“Ketika di matrikulasi, mereka pernah berlapar kerana tiada wang belanja, namun tetap tabah dan tekad untuk mengubah nasib keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dr Zambry menegaskan KPT bersama pihak UPM akan menguruskan yuran pengajian serta perbelanjaan harian mereka agar proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
“Saya pesan kepada adik Nagarani dan Nagadevi, jangan risau. Belajar bersungguh-sungguh dan banggakan ibu bapa anda,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Senator Dr Lingeshwaran yang prihatin terhadap nasib dua pelajar berkenaan.
“Sama-sama kita doakan mereka berjaya dan kembali menyumbang kepada masyarakat serta negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








