BERITA SEMASA

DBKL gempur peniaga Jalan Alor, Bukit Bintang

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 tindakan sita dan pindah barangan dikenakan kepada pemilik restoran dan gerai di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini dalam operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

DBKL dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, operasi bermula pada pukul 6.30 petang itu membabitkan Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama pejabat DBKL cawangan Bukit Bintang dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL.

Katanya, tindakan khas aktiviti penjaja tanpa lesen dan penjaja warga asing itu dilakukan secara mengejut
membabitkan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan termasuk penjaja makanan, minuman, aksesori, pakaian dan lain-lain aktiviti perniagaan.

“Antara kesalahan dilakukan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing.

“Melalui tindakan khas dijalankan, DBKL membuat 15 tindakan sita membabitkan dua kes pemilik premis makanan atas kesalahan meletakkan barangan dan peralatan di tempat awam, sembilan kes warganegara menjaja tanpa lesen serta empat kes penjaja warga asing tanpa lesen,” menurut kenyataan itu.

Semua tindakan sita diambil mengikut peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

DBKL berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu notis penguatkuasaan mengikut Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dua notis kompaun penjaja tanpa lesen dan dua notis kompaun atas kesalahan melantik pembantu gerai warga asing mengikut UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Barangan dan peralatan disita akan dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button