BERITA SEMASADALAM NEGERI

DBKL kaji lesen harian kekang ‘ulat foto’ di KLCC

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan lesen harian kepada jurugambar antara pendekatan sedang dikaji Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membendung kegiatan ‘ulat foto’ di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, cadangan mekanisme pelesenan itu lebih anjal bagi menangani masalah jurugambar menawarkan khidmat secara haram kepada pelancong.

Jelas DBKL, lesen harian kepada jurugambar sebagai langkah lebih praktikal bagi mengawal kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto’.

“Cadangan itu sedang dikaji sebagai pendekatan kawal selia yang lebih proaktif, sekali gus memastikan aktiviti fotografi dapat dikawal dengan lebih teratur tanpa menjejaskan pengalaman pelancong.

“Penguatkuasaan terhadap jurugambar tidak berlesen di sekitar KLCC dilaksanakan secara berterusan dan bukannya bermusim, dengan pemantauan serta tindakan seperti amaran, kompaun dan sitaan dibuat dari semasa ke semasa khususnya di kawasan tumpuan pelancong ,” katanya.

Bagaimanapun, menurut DBKL, isu itu sukar dibanteras sepenuhnya berikutan permintaan berterusan daripada pelancong sendiri yang mendapatkan perkhidmatan itu, sekali gus mendorong individu tidak berlesen untuk terus beroperasi.

Terdahulu, media melaporkan seramai 18 lelaki ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam rusuhan dan serangan di hadapan KLCC pada 22 Mac lalu, yang dipercayai berpunca daripada pergaduhan membabitkan kumpulan ‘ulat foto’ di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.

Selain itu, DBKL berkata pihaknya turut berdepan cabaran kerana aktiviti berkenaan mudah bergerak, menjadikan penguatkuasaan secara menyeluruh agak mencabar.

Katanya, DBKL sedang memperkukuh pendekatan sedia ada termasuk cadangan pemasangan papan tanda peringatan di lokasi strategik bagi mengingatkan semua pihak mengenai larangan menjalankan sebarang aktiviti perniagaan tanpa lesen termasuk pengambilan gambar atau jualan perkhidmatan berbayar.

“Cadangan penambahan kamera litar tertutup (CCTV) turut dipertimbangkan bagi membantu pemantauan selain memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dalam usaha menangani isu berkenaan secara lebih berkesan.

“DBKL menegaskan pihaknya komited memastikan persekitaran bandar yang teratur, selamat dan berimej positif kepada pelawat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button