BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bela, sembelih ayam hidup dalam premis, DBKL bertindak tegas ke atas perniagaan warga asing

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap beberapa premis perniagaan yang dikendalikan warga asing selepas dikesan membela dan menyimpan ayam serta itik hidup di kawasan perniagaan sehingga menyebabkan bau busuk dan persekitaran kotor.

Operasi khas yang dijalankan di sekitar Segambut Dalam dan Bandar Manjalara, Jumaat lalu mendapati aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan hidup dilakukan secara tidak terkawal, sekali gus mencetuskan kacau ganggu ketenteraman awam serta risiko kesihatan kepada penduduk setempat.

Menerusi pemeriksaan dan siasatan, DBKL mendapati beberapa premis termasuk kedai runcit, restoran makanan, penjualan buah-buahan dan kedai barangan am beroperasi tanpa lesen, melanggar syarat lesen serta dikendalikan bukan warganegara.

Anggota penguatkuasaan DBKL di sekitar Segambut Dalam dan Manjalara, malam semalam.

“Selain itu, pemilik dan pengendali premis gagal memastikan pekerja mendapatkan suntikan tifoid dan mengikuti kursus pengendalian makanan, selain meletakkan bahan mentah dan makanan terus di atas lantai. Terdapat juga majikan yang gagal memperbaharui lesen perniagaan dikeluarkan DBKL.

“Hasil tindakan penguatkuasaan, sebanyak lima aktiviti perniagaan dikenakan lima notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan lapan notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Turut dikeluarkan satu notis kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta satu Notis Kacau Ganggu mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, DBKL menyita dan memindahkan sebanyak 111 haiwan hidup terdiri daripada 108 ekor ayam dan tiga ekor itik sebelum dibawa ke Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan Alam Sekitar DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti bagi memastikan kebersihan, kesihatan awam dan ketenteraman bandar sentiasa terpelihara.

Orang awam digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan melalui saluran rasmi DBKL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button