Tali layang-layang ancam pengguna jalan raya: DBKL perketat pemantauan
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan berikutan kejadian seorang penunggang motosikal yang cedera selepas terkena tali layang-layang ketika melalui kawasan Taman Metropolitan Kepong, dekat sini, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan bahawa papan tanda amaran keselamatan telah dipasang di beberapa lokasi strategik sekitar taman tersebut sebagai langkah pencegahan dan peringatan kepada pengguna jalan raya.
“Orang ramai diseru agar sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan semasa menjalankan aktiviti riadah, termasuk bermain layang-layang, terutamanya di kawasan berhampiran jalan raya atau laluan trafik,” jelas kenyataan itu.
DBKL turut menekankan bahawa aspek keselamatan diri dan pengguna lain harus menjadi keutamaan ketika menjalankan sebarang aktiviti di kawasan awam.
Terdahulu, satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan di leher akibat terkena tali layang-layang yang merentangi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran taman tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab ketika beriadah, demi memastikan keselamatan semua pihak sentiasa terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








