Integriti penentu kejayaan sebenar, bukan pangkat atau populariti – Ayob Khan
KUALA LUMPUR – Integriti perlu menjadi asas dalam mengukur kejayaan seseorang, bukannya pangkat, kekayaan atau populariti di media sosial yang hanya bersifat sementara.
Demikian tegas Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengumumkan akan bersara Ahad ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, kejayaan yang sebenar ialah apabila seseorang mampu mempertahankan prinsip dan amanah walaupun berdepan pelbagai godaan serta kepentingan peribadi.
“Integriti bukan sekadar diperkatakan, tetapi dibuktikan dalam tindakan. Hanya mereka yang benar-benar berintegriti mampu mempertahankan prinsip apabila berdepan dengan tawaran kedudukan, kemewahan atau kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Biografi Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, di sini semalam.
Ayob Khan turut mengingatkan golongan muda supaya tidak gentar memulakan kehidupan dari bawah kerana setiap pekerjaan yang dilakukan secara halal mempunyai nilai dan maruah tersendiri.
“Saya pernah membersihkan meja, mencuci pinggan dan menebar roti canai. Semua pengalaman itu mengajar saya bahawa kejayaan memerlukan usaha, disiplin, kesabaran dan keberanian.
“Jangan berasa malu dengan asal usul kita. Yang perlu kita malu ialah apabila diberikan amanah tetapi mengkhianatinya,” ujarnya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, masyarakat dan negara memerlukan lebih ramai individu yang berpegang teguh kepada amanah serta berani mempertahankan prinsip, kerana jawatan dan pangkat hanyalah sementara.
“Saya mahu dikenang bukan semata-mata kerana jawatan yang pernah saya sandang, tetapi kerana usaha mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti dilaksanakan dengan adil dan amanah rakyat tidak boleh dijual beli,” katanya.
Menurut beliau, lebih separuh daripada kehidupannya dihabiskan dalam pasukan PDRM yang banyak membentuk nilai disiplin, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam dirinya.
Beliau berharap penerbitan buku biografi itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda untuk menjadikan integriti sebagai pegangan dalam kehidupan serta menyumbang kepada pembinaan negara yang lebih bersih, adil, selamat dan bermaruah.
Ayob Khan sebelum ini pernah menerajui beberapa jawatan penting dalam PDRM termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN pada Jun 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















