Pensyarah ditipu RM2.5 juta
KUANTAN – Seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini kerugian lebih RM2.5 juta selepas wang simpanan dalam dua akaun banknya lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai ejen insurans.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa wanita berusia 52 tahun itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah syarikat insurans pada 22 Januari lalu.
“Mangsa diperdaya kononnya terlibat dengan tuntutan insurans palsu dan penggubahan wang haram dan diarah membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan.
“Bimbang hukuman berat yang bakal dihadapi, mangsa akur dengan arahan suspek apabila membuka akaun bank seperti diarahkan dan memindahkan wang dari simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan simpanan lain ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas semua wangnya dipindahkan, mangsa diarah memberi maklumat perbankan miliknya beserta gambar kad bank dan kata laluan.
Sehubungan itu, menurutnya wanita tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.
Orang awam dinasihatkan berwaspada dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam.
Semakan nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








