BERITA SEMASA

Polis tahan tiga individu bersama dadah, suspek miliki 23 rekod jenayah

SEREMBAN – Tindakan mencurigakan sebuah kenderaan di Jalan Tampin menghala Seremban awal pagi Ahad lalu membawa kepada penahanan tiga individu termasuk seorang lelaki yang mempunyai 23 rekod jenayah lampau bersama bahan dipercayai dadah.

Kejadian berlaku sekitar pukul 1.20 pagi apabila sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan rutin mengesan sebuah kenderaan jenis Honda HR-V berwarna hitam yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan bertindak melarikan diri dengan memecut laju apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Pihak polis telah mengejar kenderaan suspek dari Jalan Tampin menghala Seremban sehingga ke Jalan Kajang sebelum kenderaan tersebut terbabas dan melanggar dua buah kenderaan lain di kawasan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beberapa video berkaitan insiden tersebut turut tular di media sosial, memaparkan kenderaan penduduk yang rosak akibat dirempuh suspek.

Menurut Mohamad Hatta, hasil pemeriksaan mendapati tiga individu berada dalam kenderaan terbabit iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 28 hingga 30 tahun.

“Polis turut merampas satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu daripada kenderaan itu.

“Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai 23 rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button