Polis bongkar makmal dadah dalam banglo, 18 tan dadah bernilai RM1.5 bilion dirampas
KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dengan merampas 18,537 kilogram (kg) dadah bernilai RM1.53 bilion, antara yang terbesar tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat risikan dan beberapa serbuan pada 16 Disember lalu.
“Serbuan pertama di Cheras menahan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing.
“Pemeriksaan di sebuah rumah menemui enam botol cecair disyaki MDMA seberat tiga kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Serbuan kedua di Taman Taynton View, Cheras, merampas 738 kg serbuk kokain dan 3,303 kg cecair kokain, manakala serbuan ketiga di kawasan Perindustrian Sungai Chua, Kajang, menemukan 3,024 kg serbuk ketamin dan 10,067 kg cecair ketamin.
Serbuan keempat di Taman Industri Mega, Bandar Technologi Kajang pula merampas 28 guni mengandungi 1,402 kg ketamin yang dibungkus dalam plastik kuning.
Hussein berkata, sindiket menggunakan rumah banglo tiga tingkat sebagai makmal haram dan premis perniagaan sebagai stor.
“Sindiket dipercayai aktif sejak April lalu dan menumpukan pasaran antarabangsa.
“Makmal yang dibongkar ini adalah yang terbesar pernah diserbu pihak polis setakat ini,” katanya lagi.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama positif ketamin, manakala suspek keempat dan keenam positif methamphetamine serta ketamin.
Semua suspek direman tujuh hari bermula 17 Disember lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Tindakan sitaan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan nilai keseluruhan RM389,000 termasuk tiga kereta, dua forklift dan sebuah lori.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, turut hadir pada sidang media berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








