Pesara pensyarah rugi RM201,000 ditipu sindiket ‘phone scam’ menyamar polis
KUANTAN – Hasrat seorang pesara pensyarah untuk menyelesaikan isu tuntutan insurans tidak kesampaian apabila wang simpanan dan pinjaman peribadinya berjumlah RM201,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon atau phone scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada Februari lalu apabila wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat insurans, mendakwa terdapat tuntutan bernilai RM68,000 atas namanya.
“Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya. Mereka mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa yang ketakutan akur dengan arahan suspek untuk membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan sejumlah wang ke akaun lain kononnya bagi tujuan siasatan.
“Antara 9 April hingga 12 Jun lalu, mangsa membuat 10 transaksi berjumlah keseluruhan RM201,000 sebelum menyedari dirinya diperdaya,” katanya.
Hasil siasatan mendapati wang berkenaan diperoleh daripada simpanan peribadi dan pinjaman bank. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan mencurigakan yang kononnya daripada agensi kerajaan.
“Buat semakan segera dengan pihak polis atau agensi terlibat sebelum bertindak. Orang ramai juga boleh menyemak nombor akaun mencurigakan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/
atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








