Polis tunggu laporan makmal lengkap punca kematian Nur Izzati
HULU SELANGOR – Polis masih menunggu keputusan analisis makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa pada 23 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, keputusan bedah siasat setakat ini masih belum dimuktamadkan kerana menunggu hasil analisis daripada pihak berkaitan.
Menurut beliau, siasatan kes berkenaan ketika ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh diterima.
“Setakat ini, siasatan kes ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses siasatan masih berjalan.
“Kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia dan doktor pakar Hospital Sungai Buloh,” memetik BuletinTV3 online.
Pada 26 Mei lalu, Nur Izzati Humaira, 19, ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat di Bukit Changkat Asa.
Mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 11.58 pagi.
Difahamkan, remaja itu dipercayai tersesat ketika menuruni bukit bersama ahli keluarganya kira-kira jam 10.50 pagi pada 23 Mei lalu.
Mangsa dilaporkan berjalan bersendirian dengan hasrat untuk tiba lebih awal di kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum disedari hilang.
Operasi SAR yang berlangsung selama empat hari membabitkan seramai 114 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung serta sukarelawan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















