JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki rugi lebih setengah juta ringgit terpedaya pelaburan tidak wujud

MIRI – Harapan seorang lelaki untuk meraih keuntungan lumayan melalui pelaburan dalam talian berakhir dengan kerugian lebih RM500,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.

Mangsa yang berusia awal 50-an tampil membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya diperdaya dalam skim pelaburan yang ditawarkan sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa pada mulanya menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali pada 18 Mac sebelum diperkenalkan kepada satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Menurut beliau, mangsa kemudian melayari pautan yang diberikan suspek dan diarahkan membuat beberapa pembayaran ke akaun bank tertentu bagi tujuan pelaburan tersebut.

“Mangsa telah membuat 25 transaksi ke beberapa akaun bank berbeza dalam tempoh antara 1 April hingga 24 Mei lalu.

“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah sebanyak RM511,406. Namun selepas semua bayaran dibuat, suspek terus meminta wang tambahan dengan alasan ia diperlukan bagi membolehkan mangsa menerima keuntungan pelaburan yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Farhan berkata, mangsa bagaimanapun tidak pernah menerima sebarang keuntungan atau pulangan seperti yang dijanjikan sebelum menyedari dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis.

Baca juga : Wang simpanan, pinjaman bank suri rumah RM749,000 lesap akibat phone scam

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

“Orang ramai juga digalakkan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.

“Sekiranya menjadi mangsa penipuan siber, segera hubungi National Scam Response Center (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan lanjut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button