Thailand, Kemboja digesa hentikan perbalahan, mulakan rundingan demi keamanan serantau – PM Anwar
PETALING JAYA – Thailand dan Kemboja digesa menghentikan perbalahan bagi membolehkan rundingan damai dimulakan demi kesejahteraan rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaku Pengerusi ASEAN, beliau telah menghantar mesej kepada rakan sejawatnya di Thailand dan Kemboja bagi menyeru kepada perdamaian dan akan menghubungi mereka secepat mungkin.
“Ini adalah perkara yang amat membimbangkan, dan malam ini saya akan bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja.
“Kedua-dua negara ini adalah anggota ASEAN dan juga negara yang rapat dengan Malaysia. Saya telah menghantar mesej kepada kedua-dua Perdana Menteri dan saya menjangkakan akan dapat bercakap dengan mereka malam ini (melalui telefon).
“Sekurang-kurangnya, kita berharap mereka menghentikan ketegangan dan seterusnya memasuki rundingan. Keamanan adalah satu-satunya pilihan yang ada,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025, di sini hari ini.
Situasi di sempadan Thailand-Kemboja kembali memuncak hari ini apabila pasukan tentera kedua-dua negara saling berbalas tembakan senjata berat termasuk artileri.
Laporan al-Jazeera yang memetik kenyataan Menteri Kesihatan Thailand, Somsak Thepsuthin berkata, 11 individu termasuk seorang anggota tentera maut manakala 24 lagi cedera dalam serangan artileri Kemboja di tiga wilayah yang bersempadan dengan negara itu, hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








