JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pengarah syarikat tidak mengaku salah tuduhan pecah amanah, ubah wang haram

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat perisian dan teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah sebanyak RM5.5 juta dan terlibat dalam transaksi pengubahan wang haram sebanyak RM403,000, pada 2019.

Tertuduh, Datuk Seri Liew Kok Leong, 53, meminta dibicarakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad dan Suzana Hussin.

Di hadapan Muhammad Ilmami, Kok Leong selaku pengarah syarikat ARB Development Sdn Bhd diuduh melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana milik syarikat berjumlah RM5.5 juta.

Kesalahan itu didakwa bagi pembelian 51 peratus saham ekuiti (bersamaan 255,000 unit saham biasa) di dalam syarikat C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa memindahkan harta tersebut ke sebuah firma guaman untuk dipindahkan ke akaun bank milik Er Yan Shuen, 55, bagi tujuan pembelian tiga lot kedai pejabat beralamat di No. 15, No. 15A dan No. 15B, Susuran Sultan Azlan Shah, Tigerlane Square di Ipoh, Perak.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Stesen Sentral 2 di sini antara 6 Mei 2019 dan 17 Jun 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julianaazrina Jaafar mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM, Putrajaya.

Beliau turut memohon pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan secara langsung atau melalui pihak lain.

Peguam, Zander Lim Wai Keong yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh dengan pihak SPRM selain tiada risiko untuk melarikan diri serta tidak membantah syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Muhammad Ilmami kemudiannya membenarkan Kok Leong diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan kes.

Bagi pertuduhan kedua yang dibacakan di hadapan Suzana, Kok Leong didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan mengarahkan Yan Shuen untuk memindahkan wang RM403,000 daripada akaun bank milik individu itu ke akaun bank Syarikat Permata Global Sdn Bhd melalui cek bank.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Cawangan Taman Maluri, Taman Maluri di sini pada 15 Jun 2019 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Dalam prosiding itu, Julianaazrina memohon mahkamah menggunapakai wang jaminan RM200,000 serta syarat tambahan untuk kes sebelum ini (pecah amanah).

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Disember.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button