BERITA SEMASA

Space Dollah hampir lemas di Bali, diselamatkan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Percutian santai di Bali, Indonesia hampir bertukar menjadi mimpi ngeri buat abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila dia berdepan detik mencemaskan selepas hampir lemas ketika mandi di laut, baru-baru ini.

Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, 37, atau lebih dikenali sebagai Space Dollah berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang bercuti bersama dua adiknya, Syed Saddiq dan Hadi, di sebuah resort mewah di pulau peranginan terkenal berkenaan.

Mengimbau semula insiden tersebut, dia berkata, pada mulanya dia begitu yakin untuk berenang lebih jauh ke tengah laut kerana merasakan dirinya mempunyai kemahiran renang yang baik dan mampu mengendalikan keadaan.

Walau bagaimanapun, keyakinan itu ternyata meleset apabila dia dihanyutkan arus yang semakin kuat tanpa disedarinya.

“Tiga hari lepas saya hampir mati lemas. Saya ni untuk pengetahuan kalian, sangat pandai berenang. Tetapi tanpa saya sedar, rupanya saya salah.

“Pada permulaan saya agak yakin untuk berenang ke tengah laut. Ombak ketika itu nampak macam okey sahaja. Saya sangat bodoh kerana berenang ke tengah laut. Tanpa saya sedar ombak sudah tarik saya betul-betul ke tengah.

“Bila semakin dekat ke tengah, semakin kuat ombak hentam saya. Ketika itu barulah saya sedar saya sudah pergi terlalu jauh. Saya cuba berenang ke pantai tetapi ombak jadi semakin kuat.

“Ketika itulah saya mula jadi panik sebab saya dah tak dapat rasa tanah di kaki walaupun saya seorang yang sangat tinggi,” katanya
menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial miliknya semalam.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, keadaan menjadi semakin kritikal apabila usahanya untuk kembali ke pantai gagal akibat ombak yang semakin kuat, sekali gus menyebabkan dia mula kehilangan tenaga.

Abdullah menambah, dia turut menjerit meminta pertolongan beberapa kali namun suaranya tidak didengari oleh sesiapa, termasuk kedua-dua adiknya yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Saya dah terminum banyak air laut. Kemudian saya jerit minta tolong. Tiga kali saya jerit. Saya nampak adik-adik saya ketika itu tetapi mereka tidak mendengar jeritan saya.

“Saya fikir saya akan mati dan mula mengucap dua kalimah syahadah. Tiba-tiba Saddiq datang dan dia cuba tolak saya daripada belakang sampailah ke pantai.

“Selepas itu saya menangis kerana saya fikir itu adalah pengakhiran hidup saya. Nasib baik ada Saddiq yang pernah sertai Iron Man. Entah daripada mana dia datang selamatkan saya,” kongsinya.

Mengenang semula detik tersebut, dia mengakui menyangka hayatnya akan berakhir apabila semakin sukar untuk bernafas selepas menelan sejumlah besar air laut.

Pada masa sama, Abdullah meluahkan rasa terkilan terhadap aspek keselamatan di kawasan pantai berkenaan yang didakwanya tidak mempunyai pengawal keselamatan ketika kejadian berlaku.

“Saddiq beritahu dia minta Hadi pergi dapatkan bantuan pengawal keselamatan, tetapi tiada siapa di situ. Tempat itu sangat mewah, ramai pelancong tetapi tiada pengawal keselamatan,” ujarnya lagi.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana sempat diselamatkan oleh Syed Saddiq sebelum keadaan menjadi lebih buruk, selain menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran berharga agar tidak memandang ringan risiko berenang di laut walaupun mempunyai kemahiran yang baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button