BERITA SEMASA

Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama ADR, sasar hab penyelesaian pertikaian serantau

PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pertikaian rentas sempadan serta mengukuhkan kedudukan kedua-dua negara sebagai pusat penyelesaian pertikaian utama di rantau ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) memaklumkan, kerjasama tersebut dilaksanakan bersama Asian International Arbitration Centre (AIAC) sebagai susulan kepada siri perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dengan Menteri Undang-Undang dan Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, Edwin Tong.

Menurut kenyataan BHEUU JPM, perbincangan terbaharu antara kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerangka pengantaraan, penyelesaian pertikaian komersial rentas sempadan, pembangunan kapasiti profesional serta perkongsian amalan terbaik dalam industri ADR.

azalina
Azalina mengadakan perbincangan dengan wakil dari Singapura.

Selain itu, Malaysia turut meneliti pengalaman Singapura dalam membangunkan sistem akreditasi pengantara yang lebih tersusun dan seragam, termasuk usaha memperkukuh standard profesional dalam bidang pengantaraan.

“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai ratifikasi Konvensyen Singapura serta langkah mempromosikan pengantaraan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan tersebut.

Sebagai langkah memperkukuh kerjasama institusi, AIAC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Singapore International Arbitration Centre dan Singapore International Mediation Centre yang disaksikan oleh menteri dari kedua-dua negara.

MoU berkenaan dijangka memperluaskan kerjasama dalam promosi timbang tara antarabangsa dan pengantaraan melalui penganjuran program, latihan serta persidangan profesional di Malaysia dan Singapura.

Delegasi Malaysia turut mengadakan sesi libat urus dengan Singapore International Mediation Institute dan Community Mediation Unit bagi meneliti pendekatan terbaik berkaitan akreditasi profesional, pembangunan kompetensi pengantara serta pemerkasaan ekosistem pengantaraan.

Dalam perkembangan sama, kedua-dua negara bersetuju secara prinsip untuk meneroka penganjuran bersama forum ADR di Kuala Lumpur dan Singapura yang akan menjadi platform kerjasama antara penggubal dasar, institusi ADR dan pemain industri di rantau ASEAN.

Menurut BHEUU, usaha itu selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem penyelesaian pertikaian negara melalui pendekatan yang moden, berkesan dan mesra pelabur.

“Langkah ini juga menyokong agenda reformasi institusi negara serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penyelesaian pertikaian alternatif yang terkemuka di Asia,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button