Penunggang maut rempuh besi penghadang dilanggar kereta buat pusing U
ISKANDAR PUTERI – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Link Kedua di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS yang ditunggang lelaki tempatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki kiri.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selelas sebuah kenderaan jenis Maserati berwarna merah yang dipandu seorang lelaki warga Singapura membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan itu menyebabkan kenderaan terbabit melanggar pembahagi jalan sehingga besi pengadang tercabut dan memasuki laluan bertentangan.
“Mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum melanggar besi tersebut dan tercampak ke bahu jalan,” ujarnya.
Beliau menambah, kotak simpanan motosikal mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar dua motosikal lain, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Insiden itu mencetuskan kekecohan apabila pemandu Maserati diserang dan dipukul dengan topi keledar oleh pengguna jalan raya lain.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut,” kata Kumarasan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















