Prestasi ekonomi Negeri Sembilan di bawah PH lepasi sasaran manifesto BN – Aminuddin
PORT DICKSON – Prestasi ekonomi Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), khususnya dalam menarik pelaburan, disifatkan jauh mengatasi sasaran yang digariskan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran pelaburan RM30 bilion bagi tempoh lima tahun yang diumumkan BN tidak menggambarkan kemampuan sebenar negeri itu berdasarkan pencapaian semasa.
Menurut beliau, Negeri Sembilan merekodkan pelaburan berjumlah RM19 bilion pada tahun lalu, manakala hampir RM13 bilion lagi berjaya dicapai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM30 bilion dalam hanya kira-kira satu tahun setengah.
“Kalau sasaran mereka hanya RM30 bilion untuk lima tahun kita telah melepasi angka itu dalam tempoh lebih kurang satu tahun setengah sahaja.
“Kerajaan negeri meletakkan sasaran minimum RM10 bilion pelaburan setahun kerana kita yakin Negeri Sembilan mampu mencapai prestasi yang lebih tinggi,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram milik beliau semalam.
Pada masa sama, Aminuddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, kerajaan negeri akan terus menetapkan sasaran pelaburan yang lebih tinggi bagi memastikan Negeri Sembilan kekal sebagai destinasi pilihan pelabur.
Katanya, peningkatan pelaburan bukan sahaja memperkukuh daya saing ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















