RENCANA

PRN Negeri Sembilan: Tadbir urus, kestabilan politik jadi ukuran utama pengundi

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 bukan sekadar medan persaingan antara parti politik yang akan bertanding.

Sebaliknya ia juga menjadi penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan negeri sepanjang lebih lapan tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam landskap politik yang semakin dipengaruhi sentimen identiti dan media sosial, persoalannya kini ialah sama ada pengundi akan memilih kesinambungan pentadbiran atau membawa perubahan baharu.

wisma negeri
Bangunan Wisma Negeri yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan. – Foto Hiasan

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, pengundi hari ini semakin matang dalam menilai sesebuah kerajaan.

Beliau berpandangan bahawa aspek akauntabiliti, ketelusan dan keupayaan mengurus ekonomi negeri menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi sokongan rakyat.

Menurutnya, dalam landskap politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, ukuran terhadap prestasi sesebuah kerajaan tidak lagi hanya bergantung kepada manifesto atau populariti pemimpin semata-mata.

“Dalam keadaan politik pasca-2018, ukuran utama ialah akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran. Namun begitu, kemampuan mengurus hasil negeri serta ekonomi juga menjadi antara nilai penting yang dinilai rakyat sama ada untuk mengekalkan atau menukar kerajaan sedia ada,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Politik identiti semakin mempengaruhi pengundi

Mengulas mengenai kecenderungan pengundi menjelang PRN, Dr Che Hamdan berpandangan bahawa politik identiti kini semakin mempengaruhi corak sokongan rakyat berbanding perbahasan mengenai dasar pentadbiran.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan isu berkaitan tadbir urus dan ekonomi tempatan kadangkala tenggelam dalam persaingan politik antara parti.

“Buat masa ini, sentimen politik identiti semakin kuat. Persaingan politik seolah-olah mengaburi isu-isu yang lebih penting seperti tadbir urus dan ekonomi tempatan,” katanya.

prn negeri sembilan
Politik identiti kini semakin mempengaruhi corak sokongan rakyat berbanding perbahasan mengenai dasar pentadbiran. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune 

Menurut pemerhati politik, fenomena politik identiti yang merangkumi sentimen kaum, agama dan kesetiaan parti semakin ketara dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini.

Keadaan itu menjadikan pertandingan politik lebih bersifat emosional berbanding perbahasan mengenai prestasi pentadbiran atau dasar awam.

Kestabilan politik satu kelebihan

Ditanya sama ada kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan memberi kelebihan kepada kerajaan negeri sedia ada, beliau bersetuju bahawa faktor tersebut mempunyai nilai tersendiri di mata pengundi.

Menurutnya, sepanjang pentadbiran Aminuddin, kerajaan negeri secara relatifnya tidak berdepan kontroversi besar berkaitan tadbir urus.

“Saya bersetuju bahawa kepimpinan Menteri Besar tidak berdepan kontroversi besar berkaitan tadbir urus.

“Cuma terdapat beberapa isu melibatkan institusi istana yang sedikit sebanyak mencetuskan kemelut politik,” jelasnya.

Beliau berpandangan kestabilan politik memberi keyakinan kepada pelabur, memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan serta membolehkan projek pembangunan diteruskan tanpa gangguan pertukaran pentadbiran.

Teori dan realiti politik berbeza

Mengulas indikator yang lazim digunakan bagi menilai sama ada sesebuah kerajaan wajar diberikan mandat baharu, Dr Che Hamdan mengakui realiti politik hari ini jauh lebih kompleks berbanding teori yang dipelajari dalam bidang sains politik.

“Masalah bagi ahli sains politik ialah apa yang ada dalam buku teks tidak semestinya sama dengan amalan politik sebenar.

“Apa yang semakin jelas sekarang ialah persaingan antara parti lebih tertumpu kepada usaha mendapatkan kuasa masing-masing tanpa benar-benar memberi keutamaan kepada kestabilan politik dan ekonomi,” katanya.

Beliau menjelaskan, secara idealnya sesebuah kerajaan dinilai berdasarkan prestasi ekonomi, keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, integriti pentadbiran, pembangunan infrastruktur serta tahap keyakinan rakyat.

Namun dalam amalan politik semasa, faktor persepsi, naratif media sosial dan sentimen kepartian turut memainkan peranan yang besar.

Hubungan negeri dan Persekutuan masih penting

Menyentuh hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, beliau berkata kerjasama yang baik masih memberi kelebihan kepada sesebuah negeri, khususnya dalam mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta penyaluran peruntukan.

“Secara asasnya saya bersetuju hubungan politik yang erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan boleh memberikan impak positif yang besar kepada pembangunan negeri.

“Namun dalam landskap politik hari ini, agak sukar untuk menentukan parti mana yang akan terus menguasai kerajaan pusat kerana tiada lagi satu gabungan politik yang benar-benar dominan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan politik yang lebih dinamik selepas pembentukan kerajaan perpaduan menyebabkan kerajaan negeri perlu lebih bijak membina hubungan rentas parti demi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Pengundi semakin menilai prestasi

Penganalisis berpandangan, walaupun isu identiti masih memainkan peranan dalam pilihan raya, pengundi khususnya golongan muda dan pengundi bandar semakin memberi perhatian kepada aspek prestasi pentadbiran, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pelaburan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam konteks Negeri Sembilan, prestasi kerajaan negeri sepanjang dua penggal pentadbiran dijangka menjadi antara pertimbangan utama pengundi apabila mereka membuat keputusan di peti undi.

Akhirnya, keputusan PRN bukan sahaja ditentukan oleh kekuatan jentera parti atau sentimen politik semasa, malah bergantung kepada sejauh mana rakyat merasakan kerajaan yang dipilih mampu menawarkan pentadbiran yang stabil, berintegriti dan berupaya meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button