Ahli PAS diseru undi calon PN, BN pada PRN Negeri Sembilan
TAMPIN – PAS mengarahkan semua ahlinya di Negeri Sembilan supaya memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini, untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan itu diteruskan selepas kerjasama sama yang dilaksanakan pada PRN Johor sebelum ini.
Berucap pada program Gelombang Biru di FELDA Bukit Rokan di sini malam tadi, beliau menggesa semua ahli PAS di bawah Parlimen Tampin keluar mengundi dan menyokong calon yang dipersetujui.
“Saya mengarahkan semua ahli PAS di kawasan Parlimen Tampin keluar mengundi pada 1 Ogos ini.
“Kita perlu menyokong calon kita daripada BN di DUN Gemencheh, calon PN di DUN Gemas dan calon MCA di DUN Repah bagi memastikan PH dapat ditewaskan di kawasan itu,” katanya.
Turut hadir Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ahli Parlimen Tampin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN berkata, ahli PAS wajib menunaikan tanggungjawab mengundi serta mematuhi arahan parti dengan memberi sokongan kepada calon BN, sama ada daripada UMNO, MCA atau MIC.
Menurut beliau, kerjasama itu diharap mampu membawa manfaat kepada umat Islam, orang Melayu dan negara.
Ketika ditemui pemberita selepas program itu, Takiyuddin menjelaskan arahan berkenaan bukan hanya terpakai kepada ahli PAS, malah mengikat semua ahli parti komponen dalam PN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















