Kerajaan Johor tanggung kos rawatan Haira, operasi tangkap anjing liar dipergiat
BATU PAHAT – Kerajaan Negeri Johor akan menanggung keseluruhan kos rawatan dan pemulihan adik Haira Watikah yang berkaitan dengan insiden serangan sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, di sini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, Haira masih memerlukan rawatan rapi dan dijangka melalui proses pemulihan yang panjang selepas mengalami kecederaan akibat serangan berkenaan.
Selain itu katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM1,000 kepada keluarga Haira sebagai tanda keprihatinan dan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga.
“Pihak hospital juga akan menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan berkaitan kepada ahli keluarga bagi membantu mereka menghadapi tempoh rawatan dan pemulihan ini,” menurut dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, isu anjing liar di kawasan berkenaan akan diberi perhatian serius, susulan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan penduduk.
“Berdasarkan aduan penduduk setempat, beberapa operasi menangkap anjing liar telah dilaksanakan sebelum kejadian tersebut.
“Pada 12, 26 dan 28 Ogos lalu, operasi dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di kawasan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengakui masih banyak usaha perlu dilakukan dan operasi menangkap anjing liar akan diteruskan dengan penglibatan Pejabat Daerah serta agensi berkaitan.
Sementara itu katanya, semua jabatan dan agensi terlibat turut diseru menggunakan segala kaedah yang dibenarkan dan bersesuaian, termasuk mempelbagaikan kaedah tangkapan bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kebimbangan turut disuarakan pihak hospital berhubung risiko rabies, justeru usaha menangkap anjing yang berkaitan perlu disegerakan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
“Sekiranya anjing berkenaan disahkan bebas daripada rabies, ia sekurang-kurangnya dapat memberikan kelegaan kepada keluarga dan pihak hospital kerana perkara itu turut mempunyai kaitan dengan proses rawatan serta pemulihan Haira,” katanya.
Dalam perkembangan sama katanya, keluarga Haira merayu orang ramai supaya tidak lagi menyebarkan gambar kanak-kanak itu yang sedang tular di media sosial.
“Keluarga tidak memberikan keizinan untuk gambar adik Haira disebarkan.
“Dalam keadaan seperti ini, marilah kita sama-sama menjaga aib, maruah dan privasi seorang anak kecil serta menghormati perasaan keluarganya.
“Tak perlu lagi gambar adik Haira disebarkan. Cukuplah kita sama-sama mendoakan kesembuhan buat adik Haira,” menurutnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








