BERITA SEMASA

ALKA, UCMB meterai MoA, laksana audit dalam usaha terokai kelestarian tenaga

KUALA LUMPUR – Bagi mempromosikan inisiatif tenaga boleh diperbaharui, Syarikat Alka System Sdn. Bhd. (ALKA) telah mengambil langkah penting dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universal Cable (M) Berhad (UCMB).

Menerusi kerjasama itu, ALKA mampu melaksanakan audit tenaga, di samping meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan keupayaan syarikat dalam usaha penambahbaikan dan kelestarian tenaga.

“Audit tenaga adalah proses menganalisis penggunaan tenaga dalam syarikat untuk memastikan bahawa tenaga digunakan dengan efisien melalui penerapan sistem pengurusan tenaga.

“Ia adalah bagi mencapai hasil yang diinginkan dan untuk penambahbaikan berterusan dalam prestasi penggunaan tenaga. Ini merangkumi semua aspek tenaga, termasuk penglibatan manusia dan peralatan dalam operasi harian kemudahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara umumnya, pengurusan tenaga boleh disimpulkan sebagai semua aktiviti untuk memastikan penggunaan tenaga yang efisien dalam syarikat dan ia diperlukan kerana pengaruhnya terhadap operasi dan aktiviti.

Terdahulu, ALKA dan UCMB memeterai MoA dalam satu majlis yang diadakan di Holiday Villa, Johor Bahru pada minggu lalu.

Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah ALKA, Ts Ir Mohd Ferdus Abdul Kadir dan Pengarah UCMB, Fadzil Ahmad.

Hadir sama, Pengawal Kewangan ALKA, Md Fauzi Bahari serta Pengurus Akaun dan Kewangan UCMB, Teoh Maylin.

Sementara itu, ALKA menghargai usaha UCMB dalam menjalankan audit tenaga dan audit alam sekitar yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian tenaga.

Katanya, menerusi langkah-langkah penambahbaikan ini, kedua-dua syarikat komited untuk mencapai hasil yang lebih baik dalam pengurusan tenaga dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Sebagai rekod, MoA tersebut merupakan langkah pertama ALKA untuk memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui.

Bagi langkah seterusnya, ALKA akan memulakan projek solar di Terengganu pada September ini sebagai fasa pertama daripada tiga fasa projek.

Selain itu, ALKA juga merancang untuk melaksanakan projek solar besar-besaran di beberapa provinsi di Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button