BERITA SEMASA

“Kami dah ada janji dengan orang di sana” – detik terakhir pasukan perubatan sebelum berlepas ke Long Lellang

KUALA LUMPUR – “Tak dapat, Aunti. Kami dah ada janji dengan orang di sana.”

Itu jawapan seorang Dr Ainul kepada ibu seorang pemilik kedai runcit di Long Siut ketika ditanya mengapa pasukan perubatan masih meneruskan perjalanan ke Long Lellang meskipun keadaan cuaca berjerebu.

Menerusi perkongsian oleh Helena YG di media sosial, kedai runcit milik bapanya di Long Siut menjadi persinggahan terakhir pasukan berkenaan untuk berehat sebelum meneruskan penerbangan ke Long Lellang semalam.

Menurutnya, anggota pasukan perubatan sempat menikmati air kelapa dalam tin sementara menunggu juruterbang mengisi minyak helikopter.

Dalam kesempatan itu, salah seorang doktor sempat berbual dengan ibunya mengenai keadaan cuaca yang ketika itu dilaporkan berjerebu.

“Aunti, teruk betul cuaca jerebu sekarang…,” kata doktor tersebut.

Ibu wanita itu kemudian bertanya mengapa mereka masih meneruskan perjalanan sekiranya keadaan cuaca teruk dan mengapa tidak menangguhkan perjalanan ke hari lain.

Doktor itu menjawab: “Tak dapat aunti, kami dah ada janji dengan orang di sana, ” tulisnya.

Perkongsian berkenaan turut menyentuh hati ramai pihak yang menzahirkan penghormatan terhadap pengorbanan petugas kesihatan, khususnya mereka yang sanggup meredah cabaran untuk memberikan khidmat perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

“Hormat sangat dengan pengorbanan petugas kesihatan kita,” tulis Helena.

Semalam negara dikejutkan dengan nahas helikopter Flying Doctor yang dilaporkan terhempas ketika dalam penerbangan di Sarawak.

Dalam tragedi itu seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button