Hukuman restoratif dicadang bagi pesalah buli bawah 18 tahun
KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang melaksanakan pendekatan hukuman bersifat pemulihan atau restoratif terhadap pelajar bawah 18 tahun yang terlibat dalam kes buli di bawah cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli yang bakal dibentangkan Disember ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendekatan itu disyorkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi membolehkan pesalah muda mempelajari kesilapan dan memperbaiki akhlak mereka, bukan sekadar dihukum.
“Bagi kes bawah 18 tahun, pendekatannya bukan untuk menghukum tetapi memulihkan.
“Mereka mungkin diarahkan menjalani sesi kaunseling atau kerja komuniti seperti membersihkan kawasan awam supaya sedar dan belajar daripada kesilapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi moderator pada program forum Nation Building and Future Resilience: Youth & Bullying di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Program tersebut merupakan sebahagian acara sempena penganjuran International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Azalina menegaskan bahawa pelajar bawah umur yang melakukan perbuatan buli melibatkan unsur jenayah tetap akan dihadapkan ke mahkamah.
“Jangan salah faham. Jika perbuatan buli menyebabkan kecederaan atau kematian, ia tetap jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan akan dibicarakan di mahkamah. Cuma salurannya mungkin melalui Mahkamah Kanak-Kanak,” katanya.
Menurut beliau, tribunal yang bakal ditubuhkan nanti akan berperanan menyelesaikan kes secara lebih cepat, sulit dan adil sama ada melalui mediasi, adjudikasi atau saluran kehakiman ringan.
Katanya, sistem baharu ini juga memberi ruang kepada pelajar yang tidak bersekolah tetapi masih di bawah umur 18 tahun untuk membawa kes ke tribunal.
“Tidak semua kanak-kanak bersekolah. Jika mereka menjadi mangsa atau pelaku buli, tribunal tetap akan menjadi platform yang sesuai untuk menyelesaikan kes mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azalina turut menegaskan bahawa undang-undang baharu ini bukan bermaksud memberi lesen kepada pesalah bawah umur untuk terlepas daripada hukuman.
“Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Undang-undang tetap terpakai, cuma bentuk hukuman berbeza mengikut umur dan keadaan,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






