Pos Melikin dirasmikan: Perkukuh pengawalan sempadan negara
MELIKIN – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar telah merasmikan Pos Melikin iaitu sebuah pos baharu di sini, bagi penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terletak kira-kira 1.2 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia dalam satu upacara semalam.
Pos itu merupakan sebuah instalasi strategik ATM yang berperanan dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.
Pembinaannya telah disiapkan pada Disember 2024 dan sejak itu telah mula beroperasi bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Perasmian Pos Melikin ini mencerminkan usaha berterusan ATM dalam memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.
“Ia selari dengan komitmen pertahanan negara dalam memastikan kedaulatan Malaysia sentiasa terpelihara,” kata Mohd Nizam melalui satu kenyataan.
Dalam rangka lawatan rasmi ulungnya ke Sarawak sejak memegang jawatan pada 31 Januari 2025, Mohd Nizam turut mengambil peluang beramah mesra dengan anggota ATM yang bertugas di Pos Melikin sebelum merasmikan pengoperasian pos tersebut dengan simbolik penanaman pokok.
Selain daripada Pos Melikin, beliau turut melawat Pos Balai Ringin yang berfungsi sebagai Markas Taktikal Batalion bagi pasukan yang melaksanakan Operasi Keris Parang Sektor Bravo.
Di Pos Balai Ringin, Mohd Nizam telah disambut oleh Pegawai Memerintah pasukan sebelum menerima taklimat mengenai operasi, tadbir dan logistik bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berkenaan pelaksanaan operasi di lapangan.

Beliau turut menyampaikan amanat kepada anggota ATM di pos tersebut serta beramah mesra dengan mereka.
Sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang bertugas di kawasan sempadan, beliau juga telah menyampaikan Beg Hari Raya Aidilfitri 1446H/2025M kepada semua anggota ATM di kedua-dua pos tersebut, sekali gus menunjukkan keprihatinan ATM terhadap kebajikan warganya.
Turut hadir dalam lawatan ke pos-pos kawalan sempadan itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Asistan Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asistan Ketua Staf Logistik Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Abu Hassan; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz; Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Sauffi Omar serta pegawai-pegawai kanan dan delegasi dari Markas ATM serta Markas Tentera Darat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








