BERITA SEMASA

Wanita maut dirempuh treler dipercayai langgar lampu merah

MACHANG – Seorang wanita berusia 26 tahun maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya dirempuh sebuah treler yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Wakaf Bata, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.

“Treler berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan terbabit sebelum merempuh bahagian sisi kanan kereta Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah Padang Kelupang menuju ke Tanah Merah.

“Rempuhan kuat menyebabkan pemandu Perodua Axia parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 selepas polis merampas empat bungkusan plastik lutsinar mengandungi cecair berwarna keperangan yang disyaki air ketum.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian 011-10085165 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button