Edutourism Langkawi perkukuh hubungan pendidikan tinggi Malaysia–Thailand
LANGKAWI – Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi (LTA@KK Langkawi) melakar sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran pelajar dari Rajabhat University, Thailand dalam satu program edutourism yang berlangsung selama enam hari bermula 15 Jun lalu.
Program berkonsepkan ‘belajar sambil melancong’ itu dirangka khusus untuk memperkenalkan bidang hospitaliti secara praktikal, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar antarabangsa.
Pengarah LTA@KK Langkawi, Rohana Sahak, berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 15 pelajar Rajabat University dan 10 pelajar LTA yang diberi pendedahan secara langsung terhadap pelbagai aktiviti berkaitan industri pelancongan.
“Antara pengisian program termasuk lawatan ke Dream Forest, Karangkraf dan Langkawi Cable Car. Pelajar turut mengikuti bengkel penulisan bahasa Inggeris berdasarkan pengalaman mereka ketika lawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum Majlis Penutup Program Edutourism: Langkawi Edutourism Geopark Odyssey (LET’S GO) dan Lawatan Menteri-Menteri ASEAN sempena Mesyuarat Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi, bulan lalu.
Dalam majlis sama, Malaysia dan Republik Demokratik Timor-Leste turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.
MoU tersebut ditandatangani Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Budaya Timor-Leste José Honório da Costa Pereira Jerónimo.
Difahamkan, MoU itu memberi tumpuan kepada kolaborasi strategik dalam bidang pendidikan tinggi yang berpotensi membuka lebih banyak peluang bermanfaat kepada kedua-dua negara.

Mengulas mengenai kemudahan bagi pelajar antarabangsa, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin, berkata pihaknya menyediakan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, bagi membantu pelajar sebelum mereka melepasi kaunter Jabatan Imigresen
“ISAC merupakan inisiatif yang pertama di dunia khusus untuk pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini dan staf di kaunter kami bertugas 24/7.
“Selain itu, kolaborasi institusi pendidikan tinggi dengan luar negara (transnational education) juga memberi pilihan kepada pelajar luar untuk datang ke sini terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajian di negara lain,” katanya.
Untuk rekod, EMGS merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertanggungjawab terutamanya bagi memudahkan pemprosesan visa untuk semua pelajar antarabangsa dan mempromosikan Malaysia sebagai hab global bakat dan pengetahuan.
Mengulas lanjut, Rohana berkata, LTA @ KK Langkawi tidak hanya melibatkan sesi pembelajaran di dalam kelas, malah merangkumi aktiviti luar seperti ‘camping dinner’ dan pengenalan kepada busana tradisional Melayu Kedah.
“Ini memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada pelajar serta memberi peluang kepada pelajar LTA sendiri untuk berinteraksi dan bertukar pandangan dengan pelajar luar negara,” katanya.

Menurut Rohana, LTA juga bekerjasama rapat dengan agensi tempatan termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dream Travel serta komuniti setempat dalam menjayakan program berkenaan yang turut menjadi sebahagian daripada sokongan kepada inisiatif Tahun Melawat Negeri Kedah 2025.
“Program ini adalah hasil kerjasama dengan Unit Perantarabangsaan dan Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti yang turut membabitkan enam institusi lain termasuk Kolej Komuniti Hulu Selangor dan Politeknik Ibrahim Sultan,” katanya.
Baca juga : Malaysia cadang tubuh sekretariat selaras kerjasama pendidikan tinggi ASEAN
Baca juga : Malaysia cadang tubuh Institut ASEAN, UKM sedia jadi peneraju
Rohana menjelaskan, kejayaan program ini membuka laluan untuk kerjasama lanjutan termasuk dalam pembangunan modul penulisan kreatif dan akademik bagi pensyarah serta pelajar institusi luar negara, khususnya dari Thailand.
“Kita turut menyasarkan program ini sebagai salah satu pakej yang akan diketengahkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan berharap lebih banyak institusi ASEAN akan turut serta,” katanya.
Tambah beliau, walaupun terdapat cabaran dari segi penguasaan bahasa, pelajar dari Thailand tidak menghadapi masalah besar memandangkan ramai dalam kalangan mereka fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.
“Kita turut mempunyai pelajar dan kakitangan yang boleh berbahasa Thailand. Jadi, komunikasi bukan satu halangan dalam menjayakan program ini,” katanya.
Program edutourism ini, katanya, dijangka menjadi antara platform penting dalam memacu perkembangan bidang hospitaliti tempatan ke peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








