Malaysia cadang tubuh Institut ASEAN, UKM sedia jadi peneraju
LANGKAWI – Malaysia mencadangkan penubuhan sebuah institut ASEAN yang komprehensif bagi menghimpunkan kepakaran pelbagai bidang dari negara-negara anggota rantau ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata walaupun terdapat beberapa universiti di ASEAN yang mempunyai pengajian berkaitan, namun masih tiada sebuah institut tunggal yang berfungsi secara menyeluruh merangkumi semua negara anggota.
“Malaysia telah mencadangkan supaya sebuah institut ASEAN diwujudkan, dan kita menawarkan diri menjadi tuan rumah kepada institut ini.
“Ia akan menghimpunkan kepakaran pelbagai bidang dari negara anggota ASEAN dalam satu platform yang lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi, semalam.
Baca juga : Model pendidikan tinggi Malaysia jadi rujukan negara serantau
Menurut beliau, antara institusi yang dilihat mempunyai keupayaan dari segi kepakaran ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) yang telah menjalankan pengajian dalam bidang ASEAN dan antarabangsa.
Tambah beliau, cadangan tersebut telah dibincangkan bersama Naib Canselor UKM, Profesor Dr Sufian Jusoh dan telah mendapat maklum balas positif daripada beliau.
Menurut Zambry, Malaysia juga akan menyediakan satu nota konsep kepada semua negara anggota sebelum ia dibawa ke Sekretariat ASEAN dan seterusnya dikemukakan dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN pada Oktober depan.

Pada masa yang sama, Zambry memaklumkan mesyuarat semalam turut meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Pendidikan Tinggi ASEAN 2045, sebagai hala tuju baharu selepas deklarasi terdahulu yang dimeterai pada 2015.
“Deklarasi ini amat penting sebagai panduan masa depan pendidikan tinggi ASEAN untuk tempoh 20 tahun akan datang. Kali terakhir deklarasi ini dibuat juga di Kuala Lumpur, dan kini kita sekali lagi mencatat sejarah dengan deklarasi baharu untuk tempoh hingga 2045,” katanya.
Tambah Zambry, semua negara anggota ASEAN telah sebulat suara menerima dan mengadopsi deklarasi tersebut sebagai komitmen bersama dalam memperkukuh sektor pendidikan tinggi serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment