BERITA SEMASA

Kebolehpasaran graduan UPTM cecah 93 peratus – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus menunjukkan kemajuan membanggakan apabila kadar kebolehpasaran graduan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) kini mencatatkan lebih 93 peratus walaupun baru sahaja berusia tiga tahun.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mahu UPTM mencapai tahap 97 peratus, oleh itu hubungan dan kerjasama strategik dengan industri akan terus diperkukuhkan.

“Pencapaian ini lebih baik berbanding kebanyakan institusi pendidikan lain. Namun, sasaran kita ialah untuk memastikan UPTM turut mencapai tahap 97 peratus seperti institusi di bawah MARA yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penganjuran program Academia–Industry Collaboration (AIC) 3.0: Celebrating UPTM Students’ Excellence and Future Career di ibu negara semalam.

Program berkenaan berperanan mempertingkat kebolehpasaran graduan UPTM melalui
pendedahan kepada jaringan profesional serta memperluas kolaborasi dengan rakan
strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis turut menyaksikan pengiktirafan kecemerlangan akademik menerusi Majlis Apresiasi Siswa (MAS), yang meraikan seramai 640 pelajar cemerlang penerima Anugerah Dekan bagi Sesi Julai 2025 dan Disember 2024.

Dalam majlis sama, UPTM telah memeterai 30 kerjasama strategik bersama rakan industri dan universiti antarabangsa, selaras dengan aspirasi institusi itu dalam memperkukuh kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi progresif dan berdaya saing global.

Asyraf berkata, kerjasama itu bagi memastikan pasaran graduan terus relevan dan berdaya saing. menunjukkan kebolehpasaran graduan pada tahap memberangsangkan.

“Saya ucapkan tahniah kepada UPTM. Walaupun baru berusia tiga tahun, mereka berada di hadapan dalam menjalinkan hubungan dan kerjasama strategik dengan industri. Ini penting bagi memastikan kebolehpasaran pelajar dan graduan UPTM terus dapat dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, UPTM juga akan menawarkan program baharu selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Kita akan melancarkan Ijazah Sarjana Muda Artificial Intelligence bermula dengan pengambilan pertama tidak lama lagi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button