KPT pastikan kurikulum kewartawanan kekal relevan, seiring perkembangan teknologi
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memastikan kurikulum komunikasi dan kewartawanan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu termasuk penerapan elemen kecerdasan buatan (AI), analitik data, undang-undang siber dan etika profesyen dalam kurikulum bidang berkenaan.
Beliau berkata, KPT komited melahirkan wartawan berilmu dan berintegriti dalam usaha memartabatkan kewartawanan sebagai satu profesion mulia yang dipercayai rakyat.
“Pendidikan tinggi mempunyai peranan strategik dalam memartabatkan kewartawanan beretika. Universiti dan kolej harus melahirkan graduan kewartawanan yang bukan sahaja cekap menulis berita, tetapi juga kritis berfikir, tinggi etika dan memahami falsafah di sebalik tugas wartawan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2024 yang dihadiri hampir 1,000 tetamu termasuk tokoh wartawan, pengarang kanan, pengamal media serta rakan strategik dari seluruh negara malam tadi.
Baca juga : Lebih 150,000 calon SPM ditawarkan tempat di IPTA – KPT
Tambah beliau, wartawan juga bertanggungjawab menyampaikan liputan yang inklusif dan berimbang, selain memastikan suara minoriti tidak diketepikan serta fakta tidak dimanipulasi.
Dalam majlis sama, Zambry turut melancarkan e-Jurnal Kewartawanan terbitan Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang bertujuan memperkasakan penulisan berasaskan kajian dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi.
Sebanyak 23 kategori dipertandingkan dalam anugerah berprestij itu dengan 549 penyertaan diterima daripada 58 organisasi media seluruh negara.
Harian Metro diumumkan sebagai penerima Hadiah Kajai, anugerah utama HKM 2024, menerusi pendedahan bertajuk ‘Rumah Penyeksaan’ yang membongkar sisi gelap rumah kebajikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








