Pensyarah dinasihat hormati tatacara akademik, tidak ulas isu luar bidang
PUTRAJAYA – Golongan akademik diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya memberi pandangan secara terbuka berhubung isu di luar bidang kepakaran masing-masing bagi menjaga kredibiliti dan maruah institusi pengajian tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dunia akademik mempunyai tatacara serta panduan tersendiri yang perlu dihormati bagi memastikan integriti ilmu sentiasa terpelihara.
“Kita tidak menghalang mereka (pensyarah) memberikan pandangan yang ada kaitan dengan bidang masing-masing, tetapi adalah malang sekiranya mereka ingin bercakap tentang semua perkara yang bukan dalam bidang mereka.
“Jadi inilah yang sering kali dipersoalkan dan seperti yang saya sebutkan berkali-kali, supaya memberikan tumpuan kepada bidang kepakaran masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mendakwa teknik pembinaan kapal tamadun Rom dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu, susulan penemuan papan kayu dipercayai serpihan kapal dari abad ke-13 di Pulau Melaka, Melaka, Jumaat lalu.
Penemuan rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun itu disahkan sebagai antara yang tertua pernah dijumpai di Malaysia, sekali gus mencatat sejarah dalam dunia arkeologi negara.
Menurut Zambry, profesor dan pensyarah seharusnya menjadi rujukan masyarakat dalam bidang kepakaran masing-masing, sama seperti doktor pakar yang hanya memberi pandangan dalam ruang lingkup perubatan yang dikuasainya.
“Namun sekiranya seorang profesor dalam bidang teknikal bercakap seolah-olah beliau pakar dalam bidang lain yang bukan teknikal, walaupun pandangannya mungkin bernas, tetapi apabila dijadikan sebagai subjek kemahiran diri, perkara itu sering kali dipersoalkan dalam dunia akademik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








