BERITA SEMASADALAM NEGERI

UTM peneraju teknologi masa depan dengan penubuhan Fakulti AI

JOHOR BAHRU – Pelbagai kejayaan yang dicapai termasuk penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) membolehkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi antara peneraju utama dalam bidang teknologi masa depan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa UTM terus kekal relevan dan progresif dalam melahirkan bakat-bakat unggul yang mampu menerajui inovasi global.

Zambry Kadir
Zambry bergambar bersama para pengurusan tertinggi UTM pada majlis tersebut.

“Saya mengucapkan tahniah kepada UTM atas pelbagai pencapaian yang membanggakan,” katanya melalui hantaran di media sosial selepas menghadiri Program Karisma Pemikir MADANI bersama pengurusan tertinggi universiti tersebut semalam.

Tambah Zambry, dalam setiap pertemuan bersama warga universiti, beliau sering menekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang diri sendiri, tetapi tentang amanah terhadap pasukan dan tanggungjawab kepada institusi.

“Pemimpin yang sejati ialah mereka yang mengutamakan kepentingan organisasi melebihi kepentingan peribadi serta mampu membina semangat kerja berpasukan yang kukuh di atas dasar saling menghormati dan percaya.

“Kepimpinan yang berkesan lahir daripada sinergi apabila minda, hati dan tenaga disatukan demi mencapai matlamat bersama,” tegasnya.

Justeru, beliau juga mengingatkan agar semangat berpasukan perlu sentiasa dipupuk dalam kalangan pemimpin utama institusi dan gabungan bersama ahli akademik serta bukan akademik agar mampu menghasilkan keputusan kolektif dan tepat.

Zambry Kadir
Sempena program itu, Zambry turut melancarkan Inisiatif Fasiliti Inklusif OKU yang diusahakan UTM untuk kemudahan pelajar mereka.

Pada majlis itu juga, Zambry turut melancarkan Inisiatif Fasiliti Inklusif untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk pengenalan van khas OKU bagi membantu pelajar bergerak ke kelas dengan lebih selesa dan selamat.

“Inisiatif ini bukan sekadar kemudahan logistik, tetapi simbol keprihatinan universiti terhadap hak dan akses saksama kepada pendidikan untuk semua.

“Semoga UTM terus bergerak menjadi antara universiti terbaik negara dan antarabangsa dalam membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang berdaya tahan dan inovatif,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button