BERITA SEMASA

UTM rancang misi Everest besar dalam tempoh dua tahun

TIBET – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merancang untuk melaksanakan satu lagi misi Everest yang lebih besar dalam tempoh dua tahun akan datang bagi meneruskan legasi kecemerlangan universiti itu di peringkat global.

Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyemarakkan semangat jati diri, ketahanan mental dan kecemerlangan dalam kalangan warga UTM.

Menurut beliau, Ekspedisi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 yang berlangsung di Everest Base Camp (EBC) Tibet bukan sekadar memperingati kejayaan bersejarah penaklukan Gunung Everest oleh graduan UTM sedekad lalu, malah menjadi simbol semangat juang dan kecemerlangan universiti di pentas antarabangsa.

Katanya, beliau amat berbangga dengan kesungguhan 15 peserta yang menyertai ekspedisi ke EBC Tibet bagi meraikan sambutan sedekad kejayaan bersejarah itu.

“Ketabahan dan semangat yang ditunjukkan oleh dua bekas pelajar, iaitu Azim Afif Ishak dan Mohd Farul Aidid Mahamad Yusoff, wajar dijadikan contoh kepada generasi muda khususnya mahasiswa UTM,” katanya pada sidang telemedia sempena meraikan kejayaan Ekspedisi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 di EBC Tibet, hari ini.

Sidang media itu turut disertai Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar dan Ahmad Kamil Kushairi.

Seramai 15 peserta menyertai Program Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 yang berlangsung dari 3 hingga 13 Jun ini selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Program itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni UTM (PAUTM) bersama UTM Space.

Ekspedisi berkenaan diketuai oleh Dr. Bakri Zainal Abidin selaku wakil PAUTM dan turut disertai Tan Sri Dr. Salleh Mohd Noor yang juga Chef de Mission Everest UTM 2026.

Turut menyertai ekspedisi ialah wakil penggerak alumni merangkap pendaki Everest UTM 2016, Azim Afif Ishak bersama pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Industri, Muhammad Zurysh Effandy Nuruleffandy, 22, dan pelajar tahun satu Diploma Sukan dan Kecergasan UTM Space, Dhanesh Babbu Krishnan, 19.

Mohd Shafry berkata, UTM berbangga kerana Azim Afif dan Mohd Farul Aidid mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama daripada lebih 3,800 pendaki yang direkodkan di peringkat antarabangsa berjaya menawan Gunung Everest melalui laluan Tibet.

“Saya yakin inilah semangat yang perlu dicontohi oleh anak muda. Semangat juang yang tinggi dan kekal teguh perlu diterapkan bagi memastikan UTM terus berada di persada antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap pencapaian dua ikon pendaki UTM itu dapat menyumbang kepada satu lagi pengiktirafan negara termasuk direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Seramai 15 peserta Ekspedisi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 meraikan sambutan sedekad kejayaan bersejarah yang berlangsung di Everest Base Camp (EBC) Tibet hari ini.

“Saya berharap kejayaan dua pelajar itu dapat direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan pencapaian yang telah mereka lakarkan demi mengharumkan nama UTM serta negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button