
Model pendidikan tinggi Malaysia jadi rujukan ASEAN – Dr Zambry
PUTRAJAYA – Model pendidikan tinggi Malaysia kini menjadi rujukan utama dalam kalangan negara-negara ASEAN hasil dasar antarabangsa yang dilaksanakan kerajaan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Dr Zambry, kejayaan institusi pendidikan tinggi negara yang mencapai pengiktirafan di peringkat global membuktikan Malaysia berada di landasan tepat sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi antarabangsa.
“Malaysia kini menjadi pusat kepada pembangunan pendidikan tinggi antarabangsa hasil dasar yang kita laksanakan. Ini boleh dilihat melalui pencapaian institusi kita yang semakin cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Pembangunan Bakat dan Teknologi Masa Depan Menjelang 2045 sempena Mesyuarat Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi hari ini.
Baca juga : Malaysia kemuka dua inisiatif strategik ke Persidangan Pendidikan Tinggi ASEAN

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, Universiti Malaya (UM) sebagai contoh, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia, manakala universiti-universiti lain turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam penarafan antarabangsa.
“Dalam konteks ASEAN, daripada 10 universiti terbaik di rantau ini, tujuh daripadanya adalah universiti di Malaysia. Dua lagi di Singapura dan satu di Thailand.
“Saya tidak mahu membuat perbandingan secara langsung dengan rakan ASEAN lain, tetapi yang lebih penting ialah pengiktirafan yang diberikan mereka terhadap kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.
Menurutnya, rakan sejawat dari negara-negara ASEAN turut menyatakan harapan agar Malaysia terus memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan sektor pendidikan tinggi di rantau ini.
“Perkara ini dibangkitkan ketika perbincangan saya dengan mereka, dan jelas menunjukkan keyakinan negara jiran terhadap sistem pendidikan tinggi kita,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
3 Comments