Pelaksanaan RPTM: KPT, kepimpinan mahasiswa bakal adakan pertemuan awal Februari – Zambry
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka mengadakan satu pertemuan khas bersama kepimpinan mahasiswa universiti, politeknik dan kolej komuniti pada awal Februari ini.
Ia sebagai langkah awal bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 berjalan selari dengan aspirasi pelajar di peringkat institusi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pertemuan itu dipersetujui susulan perbincangan awal beliau bersama wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kesatuan pelajar dan kesatuan mahasiswa dari seluruh universiti di negara ini.
“Dalam tempoh yang terdekat, mungkin awal Februari,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), di sini hari ini.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting memandangkan cabaran utama selepas peluncuran RPTM ialah memastikan pelaksanaannya dapat dijayakan secara menyeluruh dengan penglibatan langsung para mahasiswa.
“Pertemuan hari ini adalah untuk membincangkan langkah-langkah seterusnya.
“Antara komponen penting dalam pelaksanaan RPTM ialah penglibatan mahasiswa, sama ada di universiti, politeknik mahupun kolej komuniti,” katanya.
Zambry menjelaskan, wakil-wakil mahasiswa yang hadir terdiri daripada presiden MPP dan kesatuan mahasiswa yang dipilih secara sah oleh universiti masing-masing sekali gus mewakili suara pelajar di peringkat institusi.
Beliau berkata, pertemuan awal itu turut mencapai persetujuan untuk mengadakan satu program khas yang melibatkan kepimpinan utama mahasiswa dari setiap universiti dengan anggaran kira-kira 20 pemimpin pelajar bagi setiap institusi.
“Kita juga akan melibatkan kepimpinan daripada politeknik serta sebahagian universiti swasta supaya pandangan yang dikemukakan benar-benar menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut akan dilaksanakan dalam suasana santai dan terbuka bagi membolehkan interaksi dua hala sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa menyuarakan pandangan serta cadangan berkaitan pelaksanaan pelan pendidikan tinggi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








