
Malaysia cadang tubuh sekretariat selaras kerjasama pendidikan tinggi ASEAN
LANGKAWI – Malaysia mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat khas bagi menyelaraskan kerjasama pendidikan tinggi di kalangan negara anggota ASEAN.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata cadangan itu dikemukakan sebagai usaha memastikan penyertaan aktif semua negara anggota dalam bidang pendidikan tinggi.
“Sehingga kini, kita belum mempunyai satu platform khusus untuk pendidikan tinggi di ASEAN. Walaupun meskipun wujud Rangkaian Universiti ASEAN (AUN), ia hanya berfungsi dalam kerjasama tertentu dengan universiti terpilih sahaja dan telah lama ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Pembangunan Bakat dan Teknologi Masa Depan Menjelang 2045 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.
Baca juga : Model Pendidikan Tinggi Malaysia jadi rujukan negara serantau – Dr Zambry
Tambah Dr Zambry, sekretariat baru ini akan mengumpulkan semua universiti dalam negara anggota ASEAN untuk memperkukuh jaringan dan memastikan penyertaan menyeluruh dalam kerjasama pendidikan tinggi.
Beliau berkata, Malaysia juga bersedia menjadi tuan rumah serta menyediakan persiapan awal bagi sekretariat tersebut.
“Ini adalah langkah penting bagi meningkatkan kerjasama dan mengukuhkan pendidikan tinggi di peringkat ASEAN,” katanya lagi.
Sementara itu, Zambry turut memaklumkan sempena kepengerusian ASEAN 2025, menteri pendidikan tinggi ASEAN bersetuju mengiktiraf sijil dan ijazah yang dikeluarkan universiti serantau, di samping meningkatkan kerjasama mobiliti pelajar dan pensyarah.
“Malaysia dalam hal ini diwakili Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama agensi setara di negara ASEAN lain, bagi memastikan kualiti dan kesahihan sijil dikeluarkan diiktiraf bersama.
“Secara dasarnya, kita mencapai persetujuan dalam perkara ini dan turut bersetuju menubuhkan platform bagi membantu pelaksanaan pelbagai agenda pendidikan, termasuk pembangunan bakat di peringkat ASEAN,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment