Banjir di Manjung, Pulau Pangkor ‘agak luar biasa’ – Zambry
CYBERJAYA – Situasi banjir yang melanda Manjung dan Pulau Pangkor kali ini agak luar biasa dan di luar kebiasaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, walaupun berada di Sabah bagi tugasan rasmi, beliau tetap memantau secara dekat segala gerak kerja serta penyelarasan bantuan yang perlu segera disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat.

“Sejak hari pertama bencana melanda, pelbagai bentuk bantuan telah kita salurkan kepada mangsa daripada keperluan asas, makanan, selimut, logistik, hinggalah sokongan awal pembersihan di kawasan terjejas.
“Alhamdulillah, gerak kerja sepadu rakan-rakan di UMNO Bahagian bersama agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan dan para sukarelawan telah memastikan bantuan dapat digerakkan dengan cepat dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut berkongsi beberapa gambar menunjukkan beliau melakukan tinjauan pagi tadi ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Batu 10 Lekir, SK Sungai Tiram, SK Muhammad Saman, serta Dewan Orang Ramai Batu 4 Segari sekembalinya dari Sabah, lewat malam tadi.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan, termasuk mereka yang menyediakan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa yang trauma akibat kejadian ini.
“Saya juga telah berbincang dengan pegawai-pegawai bertanggungjawab untuk memastikan semua mangsa yang terkesan diberikan perhatian sepenuhnya, bukan sahaja ketika banjir berlaku, bahkan juga dalam fasa pasca banjir termasuk penilaian kerosakan, kebersihan rumah, keselamatan keluarga, serta pemulihan emosi,” kongsi Zambry lagi.
Zambru menambah, Skuad Majlis Sukarelawan Universiti Awam (MASKUM) telah diminta untuk bersiap siaga dan turun membantu operasi pembersihan pasca banjir di kawasan yang memerlukan.
Beliau kemudian turut mendoakan supaya mereka yang terkesan dengan ujian bencana ini diberi kekuatan dan dapat kembali pulih sepenuhnya.
“Semoga segala usaha kita dipermudahkan dan mangsa-mangsa banjir diberi perlindungan serta ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








