BERITA SEMASA

Jumlah mangsa banjir meningkat, PPS dijangka terus bertambah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan peningkatan ketara dan dijangka terus bertambah susulan luruan hujan lebat di beberapa negeri, khususnya di Pantai Timur dan Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah membentangkan laporan terkini kepada Jemaah Menteri mengenai perkembangan semasa bencana itu, termasuk peningkatan jumlah keluarga dan mangsa yang terjejas.

“Pada hari sebelumnya, jumlah mangsa di PPS hanya sekitar 1,000 orang, namun semalam angka itu meningkat kepada kira-kira 3,400 orang. Saya hampir pasti jumlah ini akan terus bertambah hari ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurut beliau, kemas kini terbaharu akan dibuat selepas beliau sendiri turun ke lapangan bagi meninjau tahap kesiapsiagaan agensi serta proses penyantunan terhadap mangsa banjir di kawasan terjejas.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan laporan yang diterima, luruan hujan di Pantai Timur khususnya di Pahang serta di Johor dijangka meningkat antara lima hingga tujuh kali ganda, sekali gus memerlukan tahap kesiapsiagaan maksimum.

“Keadaan ini menuntut kesiapsiagaan bukan sahaja dalam kalangan penduduk di kawasan berisiko tinggi, tetapi juga semua agensi terlibat di bawah tanggungjawab saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan semua agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya dan beliau sendiri akan mengambil pendekatan secara langsung bagi memastikan pelaksanaan pengurusan bencana berjalan lancar, khususnya berkaitan proses pemindahan dan pengurusan PPS.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata, sekolah-sekolah yang dijadikan PPS akan dimanfaatkan sebagai pusat pembelajaran sementara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

“Dewan sekolah, bilik darjah dan kemudahan lain akan digunakan bukan sahaja untuk penempatan, tetapi juga bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan anak-anak sekolah terus terpelihara,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digerakkan sepenuhnya bagi memastikan keperluan asas seperti makanan dan kebajikan mangsa diberi perhatian sewajarnya.

“Walaupun ketika ini musim cuti sekolah, pelbagai aktiviti akan diatur supaya kanak-kanak tidak terbiar.

“Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, guru-guru serta pakar psikologi daripada JKM dan Kementerian Kesihatan turut ditempatkan di PPS,” katanya lagi.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi mengisi masa mangsa, selain memberi sokongan emosi dan psikologi kepada ibu bapa serta ketua keluarga agar dapat menghadapi bencana dengan lebih tenang dan tabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button