SPRM jejak baki RM12 bilion dana 1MDB, jangka RM5 bilion pulih dalam masa terdekat
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mempergiat usaha menjejak dan memulihkan baki kira-kira RM12 bilion daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikenal pasti diseleweng, dengan jangkaan sekitar RM5 bilion lagi diperoleh dalam masa terdekat.
Daripada jumlah keseluruhan dana yang diseleweng itu, nilai aset dan dana yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia setakat ini mencecah RM31.19 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, agensi itu kini giat melaksanakan pelbagai usaha pemulihan aset termasuk kerjasama rentas sempadan bagi mendapatkan semula baki dana berkenaan.
“Keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng dan berjaya dikesan adalah sekitar RM42 bilion dan setakat ini kita telah memulihkan hampir RM30 bilion dalam bentuk dana serta aset.
“Ini bermakna masih ada baki kira-kira RM12 bilion dan kita menjangkakan sekitar RM5 bilion lagi boleh diperoleh.
“Sama ada ia dapat dibawa pulang tahun ini atau tidak, saya tidak dapat pastikan, namun SPRM sedang berusaha ke arah itu dan saya mahu proses ini dipercepatkan,” katanya memetik laporan BH Online.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura berjaya memulihkan aset yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta ahli keluarganya ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.
Pemulihan aset berjumlah AS$8.57 juta (RM39.1 juta) itu adalah hasil daripada penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Pemulangan terbaharu berkenaan, selain penyelesaian berjumlah AS$330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase & Co baru-baru ini, menjadikan jumlah keseleluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion.
Pada 26 Jun 2024, DoJ AS turut mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi AS$100 juta.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa AS telah memperoleh lebih AS$1.5 bilion berkaitan Jho Low dengan sebahagian besarnya dipulangkan kepada Malaysia.
Kejayaan pemulihan aset ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Malaysia menerusi Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) yang diketuai SPRM, dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















