BERITA SEMASA

SPRM nafi kewujudan ‘mafia korporat’

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan wujudnya ‘mafia korporat’ dalam badan tersebut seperti didakwa sebuah penerbitan antarabangsa, baru-baru ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, dakwaan itu dipercayai timbul daripada sebuah blog dalam talian yang tiada identiti pemilik, penulis, atau akauntabiliti jelas.

“SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan dan memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian, khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah.

“SPRM berpandangan bahawa tuduhan ini merupakan satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas oleh tindakan undang-undang yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu, hari ini.

SPRM seterusnya berkata, pihaknya memandang isu tersebut sebagai satu dakwaan lama yang tidak berasas, sengaja diulang dan dimainkan semula untuk mencemarkan imej serta reputasinya.

Katanya, semua siasatan dijalankan berasaskan bukti, selaras dengan undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.

“Penyebaran tuduhan tanpa asas yang berpunca daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.

“Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, dakwaan yang dibangkitkan penerbitan antarabangsa itu sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)

“SPRM memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan fakta dan kebenaran dapat ditentukan selaras dengan undang-undang.

“(Dalam masa yang sama) SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti yang sahih berkaitan rasuah atau salah laku agar membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

SPRM menegaskan maklumat perlu disalurkan melalui saluran rasmi supaya siasatan boleh dijalankan secara teratur dan adil mengikut undang-undang, bukan melalui media atau penerbitan tanpa bukti kukuh.

“SPRM kekal komited untuk melaksanakan mandatnya membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan untuk mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsinya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button