BERITA SEMASA

Kumpulan G57 gesa SPRM siasat pemimpin kanan UMNO Sabah terima komisyen jutaan ringgit

PUTRAJAYA – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat pemimpin kanan UMNO Sabah yang disyaki menerima komisyen berjumlah jutaan ringgit membabitkan sebuah projek di negeri berkenaan.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, beliau tidak pasti sama ada SPRM sudah melihat atau tidak isu yang tular di media sosial itu sejak seminggu lalu melibatkan pemimpin berkenaan.

Oleh sebab itu, katanya, beliau hadir sendiri ke ibupejabat SPRM, di sini hari ini bagi menyerahkan maklumat berkenaan isu demikian.

“Pesuruhjaya SPRM,Tan Sri Azam Baki sebelum ini pernah menyatakan pihaknya akan memberikan komitmen untuk menyiasat semua berita yang tular di media sosial dan berharap kes ini disiasat,” katanya kepada pemberita setelah selesai membuat laporan di ibupejabat SPRM, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial menyatakan seorang pemimpin kanan UMNO menerima komisyen jutaan ringgit melibatkan sebuah projek bangunan kerajaan di negeri berkenaan.

Zulkarnain seterusnya berkata, siasatan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kesahihan dakwaan demikian, kerana isu tersebut menjadi tular bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara.

“Kita berharap SPRM dapat menyiasaat dakwaan ini, sama ada betul atau tidak.

“Kalau betul berlaku, siasat dan ambil tindakan sebab rakyat nak tahu,” katanya lagi.

Beliau seterusnya turut menggesa pemimpin kanan UMNO Sabah yang dikaitkan dengan dakwaan itu membuat penafian serta laporan polis sekiranya ia satu fitnah.

“Isu ini sudah lebih seminggu tular namun sehingga kini tidak ada kenyataan dibuat pemimpin UMNO dan sepatutnya Pemuda, Wanita serta Puteri UMNO Sabah jawab, tapi sampai sekarang belum ada lagi yang tampil menafikan tuduhan berat itu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkarnain sekali lagi menyatakan pandangannya supaya Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin melepaskan jawatannya.

Kata Zulkarnain, peletakan jawatan itu akan dapat memberi kepercayaan kepada pengundi menyokong Barisan Nasional (BN) khususnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan vbila-bila masa sahaja lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button