Lim Sian See nafi hina al-Quran, anggap komen sindiran politik
KUALA LUMPUR – Lim Sian See menafikan dakwaan bahawa beliau menghina al-Quran susulan komen berhubung penggunaan perkataan lighad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen, semalam.
Sian See berkata, komennya merujuk kepada perkataan lighad yang disenaraikan Sinar Harian sebagai antara perkataan unik dalam ucapan belanjawan, bukannya bertujuan memperlekeh ayat suci al-Quran.
Menurutnya, beliau mengulas penggunaan istilah berkenaan yang membawa maksud ‘untuk masa depan’ dan berpandangan bahasa yang lebih mudah difahami rakyat sepatutnya digunakan dalam pembentangan belanjawan.
“Dalam konteks itu, saya mengulas penggunaan perkataan, bukannya memperlekeh ayat suci.
“Sesuatu perkataan bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan itu turut digunakan dalam al-Quran,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini
Dia turut mempersoalkan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan meminta pihak yang menuduhnya menghina al-Quran menjelaskan bahagian komen yang didakwa mengandungi unsur penghinaan itu.
Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mendesak Lim memohon maaf secara terbuka berhubung komen berkenaan.
Akmal menyifatkan tindakan mempermainkan ayat al-Quran sebagai keterlaluan dan memaklumkan laporan polis akan dibuat.
Kontroversi itu tercetus selepas Lim mempersoalkan penggunaan perkataan lighad dan membuat perbandingan dengan perkataan ‘liwat’ dalam komen di Facebook.
Sian See turut berkata, komennya merupakan sindiran terhadap penggunaan istilah dalam ucapan politik dan bukannya penghinaan terhadap Islam atau al-Quran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








