BERITA SEMASA

Video tular KLIA tidak berlaku di kaunter Imigresen – Saifuddin Nasution

KOTA SAMARAHAN – Insiden membabitkan dua warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak berlaku di kaunter pemeriksaan Imigresen, seperti yang didakwa dalam satu video tular di media sosial, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan mendapati insiden berkenaan berlaku di pintu masuk ke pesawat, yang dikendalikan polis bantuan lapangan terbang, lapor Buletin TV3.

Beliau turut berkata, siasatan turut mengesahkan bahawa kedua-dua individu berkenaan iaitu seorang lelaki warga Bosnia dan seorang wanita warga China, mempunyai rekod perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui prosedur yang betul.

“Ini bukan kali pertama. Sebelum ini di Thailand juga dia buat dakwaan sama namun apabila kita semak, dia masuk cara sah, keluar cara sah, namun kandungan dia seolah-olah menggambarkan mudahnya melepasi sempadan negara.

“Dokumen dia semua sah dan hanya dia sahaja yang tahu apa motif dia. Kalau kes ini berterusan, tentu kita boleh ambil tindakan ke atas individu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Program Kampung Angkat Madani, di sini hari ini.

Buat masa ini, katanya, KDN sedang meneliti motif sebenar di sebalik penerbitan video tersebut, termasuk kemungkinan wujud unsur untuk menjejaskan imej negara atau menimbulkan kegusaran awam.

Video tular itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial, namun penjelasan KDN menegaskan bahawa kawalan keselamatan di pintu masuk negara berada dalam keadaan terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button